nuffnang ads

Wednesday, October 27, 2010

Sotong 'ajaib' Paul mati

BERLIN 26 Okt. - Sotong kurita, Paul yang dikenali kerana ketepatan ramalannya berhubung keputusan pertandingan Piala Dunia di Afrika Selatan Julai lalu, mati di akuarium yang menempatkannya di Jerman.
"Pihak pengurusan dan kakitangan di Pusat Hidupan Laut Oberhausen sedih selepas mendapati haiwan yang terkenal dengan ramalan tepatnya semasa Piala Dunia lalu itu, mati malam tadi.
"Paul mengagumkan dunia apabila berjaya meramal tepat pemenang perlawanan melibatkan pasukan Jerman, begitu juga dengan keputusan perlawanan akhir. Kejayaannya merupakan cerita yang lebih besar daripada Piala Dunia itu sendiri," kata pengurus pusat hidupan laut itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.
Semasa Kejohanan Piala Dunia lalu, Paul berjaya meramal tepat pemenang bagi lapan perlawanan, termasuk perlawanan akhir apabila Sepanyol menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0.
Semasa ramalan dilakukan, dua kotak yang tertera bendera pasukan bertanding, diletakkan di dasar akuarium.
Sambil disaksikan pemberita-pemberita, Paul akan berenang ke arah satu kotak, mengembangkan tentakelnya dan melekap pada kotak tertera bendera pasukan yang diramal akan memenangi satu-satu perlawanan.
Pusat Hidupan Laut Oberhausen berkata, Paul kini ditempatkan di dalam peti sejuk, sementara pihaknya menentukan upacara terbaik bagi mengenangnya.
Porwoll bagaimanapun berkata, peminat-peminat sotong kurita itu tidak perlu bersedih dengan kematian Paul kerana pihaknya sedang melatih seekor sotong kurita lain yang akan diberi nama 'Paul'.
"Kami mungkin akan menanam Paul di kawasan pusat hidupan laut ini dan membina satu tapak peringatan kecil untuknya.
"Walaupun ini satu tindakan pelik yang dilakukan untuk seekor hidupan laut, Paul mencipta populariti semasa hidup yang boleh dianggap sebagai wajar dilakukan," kata Porwoll. - AFP

Tsunami Indonesia: 112 maut, 502 masih hilang

PADANG: Kadar kematian daripada kejadian tsunami yang memusnahkan rantaian kepulauan Indonesia susulan gempa bumi kuat mencecah 112 mangsa dan lebih 500 yang lain masih hilang.

Gempa bermagnitud 7.7 yang melanda di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera lewat Isnin lalu, membentuk ombak setinggi tiga meter memusnahkan 10 perkampungan negara itu.Ketua Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Harmensyah, berkata sekurang-kurangnya 112 terbunuh dan 502 yang lain dikhuatiri hilang.
Pihak berkuasa negara itu berkata, air memusnahkan kawasan darat sejauh 600 meter di bahagian Selatan Pulau Pagai, iaitu terkuat dirasai. - AFP

Letusan Gunung Merapi ragut 25 nyawa

GUNUNG MERAPI (Indonesia): Angka kematian daripada letusan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia meningkat kepada 25 mangsa hari ini, termasuk seorang warga emasyang dikenali sebagai penjaga gunung itu.

Pihak berkuasa tempatan, berkata penjaga tradisi gunung itu, Mbah Marijan atau datuk Marijan, ditemui mati di dalam rumahnya yang terbakar, kira-kira empat kilometer dari puncak gunung. Sekurang-kurangnya 25 terbunuh, termasuk Mbah Marijan, seorang wartawan dan dua ahli sukarelawan," kata jurucakap bagi Hospital Sardjito yang terletak berdekatan Yogyakarta, Banu Hermawan. - AFP

Tak jadi nikah, gadis lari rumah


SHODIKUL AMEEN menunjukkan gambar adiknya, Noor Kalsom yang menghilangkan diri sejak 16 Oktober lalu di Bagan Datoh semalam.


BAGAN DATOH - Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan keluarga untuk tidak meneruskan majlis pernikahan dengan jejaka pilihan, seorang gadis dikatakan lari dari rumah sejak 11 hari lalu.
Noor Kalsom Mohd. Ali, 22, yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 13 November ini gagal dikesan selepas kali terakhir ditemui ahli keluarganya pada 16 Oktober lalu.
Menurut abangnya, Shodikul Ameen Mohd. Ali, 29, dia sendiri tidak menyangka adiknya sanggup bertindak sedemikian meskipun mengakui berlaku sedikit perselisihan dengan keluarga sebelum ini.
"Kami sebelum ini dengan berat hati terpaksa batalkan pernikahan dengan tunangnya atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat kami nyatakan biarpun sebanyak 1,500 kad undangan telah siap dicetak.
"Noor Kalsom sendiri memahami tujuan dan alasan pembatalan perkahwinan itu namun secara tiba-tiba dia menghilangkan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit 11, Batu 16, Jalan Bagan Datoh dekat sini semalam.

Tiada rombakan besar - Wan Jamak

WAN Jamak Wan Hasan (kiri) memantau Mohd. Aidil Zafuan dan pemain-pemain Negeri Sembilan yang lain menjalani latihan di Gimnasium Rakyat dekat Seremban, semalam sebagai persiapan berdepan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN


SEREMBAN - Juara bertahan, Negeri Sembilan tidak akan membuat rombakan besar dalam barisan pemain apabila berdepan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Jurulatih skuad itu, Wan Jamak Wan Hassan berkata, beliau hanya menyandarkan harapan kepada beberapa pemain pengalaman termasuk Idris Karim, Shukor Adan, Ching Hong Aik, S. Kunalan dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak.
"Saya akui tidak punya banyak pilihan berikutan pemain muda cetek pengalaman," katanya di sini, semalam.
Walaupun agak malang kerana ketiadaan penyerang berbisa Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, yang berehat panjang kerana kecederaan lutut serius, Wan Jamak berkata, Idris yang mengisi posisi serangan dianggap tonggak utama barisan depan berikutan pengalaman dan kelincahannya.
"Mengenai kedudukan ketua pasukan Rezal Zambery Yahya selepas kecederaan kakinya, saya berharap dia akan pulih dalam masa terdekat.
"Kehadirannya dalam senarai kesebelasan utama Negeri Sembilan amat diharapkan kerana dia perancang utama selain pembimbing pemain muda," katanya.
Wan Jamak berkata, beliau kini lebih memberi tumpuan untuk memperkemaskan lagi strategi dan jentera serangan bagi memastikan setiap peluang berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain.
Tiada perubahan ketara dilakukan kerana ia boleh mengganggu rentak dan persefahaman mereka, katanya.
Wan Jamak yakin skuadnya ada ramuan untuk menang walaupun Kelantan berazam menebus kekecewaan tahun lepas.
Di dalam permainan bola sepak terutama di peringkat final, apa sahaja boleh berlaku dan Wan Jamak berharap barisan pemainnya akan terus fokus dan bersemangat tinggi. - Bernama

Pertarungan satu lawan satu BN dengan Pas di Galas

TENGKU Razaleigh Hamzah dan Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff (depan, tiga dari kiri) pada penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, semalam.


GUA MUSANG 26 Okt. - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad.
Pengesahan 'pertarungan' antara kedua-dua calon itu dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Galas, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid pada pukul 11.30 pagi sebaik sahaja selesai proses penamaan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.
Menurut beliau, Abdul Aziz menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi manakala Dr. Zulkefli berbuat demikian pada pukul 9.33 pagi.
''Terdapat satu bantahan dikemukakan bagi pencalonan-pencalonan berkenaan, namun ia ditolak," katanya ketika membuat pengumuman tersebut.
Sebelum itu, Abdul Aziz yang merupakan bekas Pengurus Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tiba di pusat penamaan pada pukul 9.05 pagi dengan diiringi oleh hampir 3,500 penyokong BN.
Turut bersama beliau ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Naib Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta beberapa pemimpin kanan UMNO yang lain.
Dr. Zulkefli pula tiba pada pukul 9.25 pagi dengan diiringi lebih 5,000 penyokong Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Berbanding Abdul Aziz yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya, ini merupakan kali ketiga bagi Dr. Zulkefli.
Sebelum ini pada tahun 2004 dan 2008, beliau bertanding sebagai calon Pas bagi kerusi Parlimen Gua Musang, bagaimanapun tewas kedua-dua di tangan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Sementara itu, proses penamaan calon yang diadakan berjalan lancar dengan kawalan ketat oleh pihak polis. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku melibatkan penyokong kedua-dua calon.

Pilihan Raya Kecil: 5 sedia berentap

Oleh Zulkofli Jamaludin, Ismail Mat, Nazura Ngah, Norliza Wasilan, Haspaizi Mohd Zain, Ramli Ibrahim, Nor Hazwani Hamat, Paya Linda Yahya dan Mohd Fakri Awang Lah
bhnews@bharian.com.my
2010/10/27

  • Foto

Tiada calon bebas bertanding: BN hadapi persaingan PKR, SAPP di Batu Sapi dan PAS di Galas

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menghadapi pertandingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi, di Sabah, manakala Pas seperti yang dijangka, bersaing dengan BN untuk mempertahankan kerusi DUN Galas, Kelantan pada pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu 4 November depan. Calon BN di Batu Sapi, Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS), Datin Linda Tsen Thau Lin akan ditentang oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Ansari Abdullah.
Namun, agak mengejutkan apabila tiada calon bebas bertanding seperti kelaziman politik Sabah yang kerap menyaksikan kemunculan calon bebas, terutama pada pilihan raya kecil.


Di Galas pula, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad ditentang Setiausaha UMNO Gua Musang, Ab Aziz Yusoff, selepas parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) yang sebelum ini menyatakan meletakkan calon, tidak berbuat demikian.

Di SANDAKAN, Ansari, 56, mengemukakan kertas pencalonan di Dewan Masyarakat Sandakan pada jam 9.08 pagi, diikuti Yong, 52, seminit kemudian dan Linda, 54, pada jam 9.12 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Batu Sapi, Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama ketiga-tiga calon pada jam 11.20 pagi, selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi.

Antara yang mengiringi calon BN ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari, manakala Yong mengetuai sebilangan kecil penyokong, termasuk dua Ahli Parlimen SAPP, Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Sepanggar).

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Linda, Datuk Edmund Chong Ket Wah, akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Di GUA MUSANG, Ab Aziz yang menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi tiba diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Dr Zulkefli pula menyerahkan borang pada jam 9.33 pagi. Beliau diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan calon PAS yang mendakwa Ab Aziz masih berkhidmat dalam kerajaan kerana bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu memilih bersara awal.

Proses pencalonan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, lancar tanpa kejadian tidak diingini berikutan langkah keselamatan ketat termasuk mengasingkan penyokong pada jarak lebih 200 meter, walaupun parti bertanding membawa bersama ribuan penyokong.

Nama calon diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Galas, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid pada jam kira-kira jam 11.30 pagi, Pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian penyandang daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah pada 27 September lalu.

Beckham masih berminat kembali beraksi di England

LONDON: Bekas pemain Manchester United, David Beckham mahu menghabiskan kontrak terakhirnya bersama Los Angeles Galaxy tetapi masih berminat untuk kembali bermain di England dalam usia 35 tahun.

Dalam satu temubual televisyen semalam, pemain tengah itu berkata beliau tidak lagi mempunyai perjanjian pinjaman pemain selepas dua kali dipinjamkan di AC Milan. Untuk kali kedua bermain untuk kelab Itali itu, Beckham terbabit dalam kecederaan sehingga dia terkeluar daripada beraksi untuk England pada Piala Dunia Afrika Selatan pada Jun lalu.
Kontrak Beckham bersama Galaxy tamat tahun depan tetapi dia mempunyai pilihan untuk menyambungnya dalam masa 12 bulan sebelum kontrak tamat.

"Saya perlu ke sana (Los Angeles) untuk menghabiskan kontrak saya," katanya.

"Anak saya memasuki sekolah di sini dan kami amat gembira tinggi di sini. Jadi saya tidak fikir kami akan berpindah (ke Los Angeles).

Beckham, meninggalkan Real Madrid untuk ke Galaxy pada 2007, menjaringkan gol untuk kelab itu menentang FC Dallas dengan keputusan 2-1, Ahad lalu. - Reuters

Gol Hernandez sekali lagi selamatkan United

LONDON: Jaringan minit terakhir oleh pemain gantian, Javier Hernandez menyelamatkan Manchester United apabila menang 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers pada saingan Piala Liga di Old Trafford, awal pagi tadi.

Jaringan pemain antarabangsa Mexico itu sekali gus membolehkan United yang juga penyandang juara, melangkah ke peringkat suku akhir. Selepas kemarau jaringan pada separuh masa pertama, Wolve dua kali menyamakan kedudukan selepas pemain yang digelar "Little Pea" itu meledakkan jaringan kemenangan United pada minit ke-90.
"Bila dia masuk, bila dia memperoleh peluang, dia tidak akan mensia-siakannya,' kata pengurus United, Alex Ferguson.

Barisan pemain yang diturunkan Ferguson berubah daripada barisan pemain pada saingan Liga Perdana pada Ahad lalu yang kali ini kebanyakannya pemain muda.

Sementara itu, West Bromwich Albion turut layak sebagai pasukan kelapan dalam suku akhir apabila menang 4-1 ke atas kelab bimbingan bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson iaitu Leicester City.

Wigan Athletic pula menewaskan kelab divisyen kedua, Swansea City 2-0 dengan menyaksikan penyerang Argentina, Mauro Boselli meledak gol sulungnya sejak dibeli daripada Estudiantes.
Kelab divisyen keempat, Northampton Town, yang menyingkirkan Liverpool sebelum ini, mengakhiri kemaraannya apabila tumpas 3-1 kepada kelab divisyen kedua, Ipswich Town.

Kelab divisyen ketiga, Brentford, yang pernah menumpaskan Everton pada pusingan ketiga, juga menamatkan saingan apabila tumpas 4-3 kepada Birmingham City. - Reuters