nuffnang ads

Tuesday, October 26, 2010

5B

1. Pengguna yang BETUL

• Pastikan label ubat tertulis nama pesakit.

• Jangan berkongsi ubat anda.
• Jauhi ubat daripada kanak-kanak.
• Asingkan ubat untuk haiwan pemeliharan daripada ubat manusia.


2. Ubat yang BETUL


• Bacakan label ubat untuk memastikan ubat yang diambil adalah betul.

• Jika nama ubat yang diterima lain daripada yang biasa, sila pastikan adakah ia ubat generik.
• Apabila menerima baki ubat, pastikan ubat yang sama diterima. Jika ianya berbeza, tanyalah sama ada ianya ubat sama tetapi lain jenama.
• Pakailah cermin mata dan nyalakan lampu untuk membaca label ubat.
• Untuk ubat am (OTC) atau supplement, sila baca carta kandungan ubat.
• Pastikan anda tahu nama-nama ubat yang dipreskripsikan.
• Pastikan anda mengetahui kegunaan ubat yang anda sedang mengambil.


3. Dos yang BETUL


• Baca arahan pada label ubat.

• Pastikan anda mengetahui berapa sukatan / dos yang harus diambil setiap hari.
• Pastikan anda mengetahui tempoh pengambilan ubat.
• Gunakan sudu bersukat untuk ubat minum jika sudu tersebut dibekalkan.
• Gandaan atau pengurangan dos ubat tanpa nasihat pengamal kesihatan adalah tidak digalakkan.



4. Cara Pengambilan yang BETUL


• Baca arahan pengambilan pada label ubat.

• Pastikan anda mengetahui cara pengambilan ubat yang betul.
• Bukan semua ubat tablet harus ditelan. Sesetengah ubat tablet perlu dikunyah, dihaluskan atau dilarut dalam air sebelum makan. Tanyakan dari ahli farmasi cara terbaik untuk mengambil ubat anda.


5. Masa yang BETUL


• Baca arahan pada label ubat.

• Pastikan anda mengambil ubat ikut masa yang ditetapkan.
• Ubat harus diambil pada masa yang sama setiap hari.
• Ambil tahu samada ubat anda boleh diambil bersama ubat atau makanan lain.
• Ambil tahu apa yang harus dilakukan jikalau tertinggal dos.

Kenali Ubat Anda

  1. Apakah itu ubat?

    Ubat adalah bahan kimia yang digunakan untuk rawatan, pencegahan dan diagnosis penyakit. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang boleh didapati dari klinik, kedai farmasi dan pasaraya. Sekiranya ubat diguna seperti diarahkan, ini dapat merawat atau mengawal penyakit anda.  Sumber dari kajian-kajian yang telah dibuat menunjukkan seramai 50% pesakit tidak mengambil ubat dengan betul.

    Adalah penting untuk anda ketahui nama dan bentuk ubat yang diambil. Sesetengah ubat mungkin mempunyai bentuk yang sama tapi nama dan kegunaan yang berlainan dan sebaliknya. Ubat boleh dipreskrib menggunakan nama dagangan atau nama generik. Sekiranya anda kurang pasti, sila dapatkan maklumat lanjut melalui doktor/ahli farmasi.

  2. Langkah-langkah sebelum ambil ubat
  1. Pemberian Maklumat

    Ahli Farmasi perlu mendapatkan maklumat lengkap supaya nasihat yang betul dapat diberi. Oleh itu, sebelum mengambil ubat, anda perlu memberitahu doktor/ahli farmasi maklumat berikut: 

  • Apakah simptom penyakit yang anda hidapi dan berapa lama sudah dialami.
  • Sekiranya anda telah berjumpa dengan pengamal perubatan
  • Semua jenis ubat dan pemakanan tambahan yang diambil termasuk ubat dengan atau tanpa preskripsi
  • Sekiranya terdapat sebarang alahan terhadap ubat, makan atau bahan-bahan lain.
  • Sekiranya merokok, minum arak atau tabiat bersenam.
  • Sebarang pemakanan khusus yang diamalkan: kurang gula, kurang garam atau pemakanan untuk mengurangkan atau meningkatkan berat badan.
  • Sekiranya hamil, merancang untuk hamil atau menyusukan bayi
  • Sejarah penyakit keluarga
  1. Baca Label Ubat

    Maklumat yang terdapat pada bekas ubat mengandungi maklumat penting. Label ubat mungkin berbeza namun maklumat yang didapati adalah seperti di bawah:

  1. Nama anda 
  2. Nama dan kekuatan ubat
  3. Arahan cara makan ubat seperti:
  • kuantiti dan kekerapan ubat yang perlu diambil
  • sebelum, selepas atau bersama makanan
  • langkah berjaga-jaga seperti jangan ambil bersama alkohol
Secara amnya, ambil ubat selepas makan. Ini adalah untuk membantu supaya anda tidak lupa untuk mengambil ubat dan mengelakkan kesan ubat pada perut.
Sesetengah ubat, contohnya PENICILLIN perlu diambil semasa perut kosong kerana makanan boleh mengganggu penyerapan. 
Sila bertanya dengan ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang keraguan. 

Arahan dilabel ubat perlu dipatuhi dengan teliti. Contohnya adalah seperti berikut: 

  1. AMBIL SEBELUM MAKAN

    Ambil ubat satu jam sebelum makan dan TIDAK dua minit sebelum makan, atau dua jam selepas makan. Sesetengah ubat perlu diserap dengan cepat supaya dapat bertindak dengan lebih berkesan. Sekiranya terdapat makanan di dalam perut, maka kesan penyerapan ubat akan berkurangan atau hilang. Namun jika anda terlupa mengambil ubat sebelum makan anda perlu ambil dua jam selepas makan ketika perut kosong.

  2. AMBIL SELEPAS MAKAN

    Ambil ubat lima hingga sepuluh minit selepas makan untuk mengelakkan kesan gastrik.

  3. AMBIL BERSAMA AIR

    Ambil ubat bersama segelas air kosong supaya memudahkan ubat sampai ke perut. Jangan mengambil bersama air manis seperti kopi, teh, dan lain-lain minuman kecuali dengan arahan doktor/ ahli farmasi. 

  4. JANGAN KUNYAH, TELAN UBAT SEPENUHNYA

    Sesetengah ubat makan terdapat satu lapisan di atasnya, di mana lapisan ini akan hancur dan ubat dapat diserap sebaik sahaja sampai ke perut. Lapisan ini bertindak sebagai pelindung untuk mengelakkan kesan gastrik dan fungsi lain juga sebagai kawalan terhadap kadar serapan ubat di perut. Oleh itu jika dikunyah lapisan ini akan hancur dan penyerapan ubat yang berkesan tidak dapat dicapai.

  5. AMBIL SELEPAS ATAU BERSAMA MAKANAN

    Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan gastrik oleh itu ambil selepas atau bersama makanan.

  6. AMBIL UBAT PADA MASA DITETAPKAN DAN SAMPAI

    Sekiranya anda ambil antibiotik untuk jangkitan, pastikan anda habis makan ubat tersebut walaupun anda sudah berasa sihat. Ini kerana bakteria masih terdapat di tempat jangkitan dan sekiranya ubat gagal dihabiskan, bakteria tidak akan sepenuhnya mati dan jangkitan boleh berulang. Kesan lain sekiranya ubat tidak habis dimakan ialah ia boleh menyebabkan kesan rintangan. Ini bermaksud bakteria tersebut tidak dapat mati dengan antibiotik yang sama menyebakan antibiotik yang lain perlu digunakan.

  7. BOLEH MENYEBABKAN MENGANTUK. JIKA ADA KESANNYA, JANGAN MEMANDU KENDERAAN ATAU MENGENDALIKAN MESIN.
    Sesetengah ubat boleh menyebabkan mengantuk. Minta nasihat ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang keraguan.

  8. JANGAN AMBIL UBAT DALAM GELAP WALAUPUN ANDA PASTI DIMANA LETAKNYA.

Pantun Nasihat

ngin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik
Hendak menjerat kancil dan rusa
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir
Supaya jangan mendapat malu

Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah
 
Tumbuh melata si pokok tebu
Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap
Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap
Jikalau silap awak yang bencana

Hendak belayar ke Teluk Betong
Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
Ditiup angin dari Selatan
Layar dikembang kemudi dipaut
Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu
Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar
Tentu kita akan berjaya

Jangan pergi mandi di lombong
Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti
Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati
Kerja yang susah menjadi senang

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri

Selasih tumbuh di tepi telaga
Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga
Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu
Takut kena gigitan pacat
Kalau kita selalu bersatu
Apa kerja mudah dibuat

Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga

Encik Dollah pergi ka Jambi
Pergi pagi kembali petang
Kalau Tuhan hendak membagi
Pintu berkancing rezeki datang

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Terang bulan di malam sepi
Cahya memancar kepangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa

Kapal kecil jangan dibelok
Kalau dibelok patah tiangnya
Budak kecil jangan di peluk
Kalau dipeluk patah tulangnya

Asal kapas menjadi benang
Dari benang dibuat kain
Barang yang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail
Dapat seekor ikan tenggiri
Jangan amalkan sikap bakhil
Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu
Rosak hati kerana kasih

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja
Suka berjalan di atas titi
Orang yang malas hendak bekerja
Pasti  menyesal satu hari nanti

Bintang tujuh sinar berseri
Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati
Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu
Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu
Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita
Jadi kebanggaan zaman berzaman

Pergi berburu sampai ke sempadan
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan
Asalkan hati bersih dan jujur

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga

Ramai orang membeli jamu
Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
Ilmu dicari penyuluh hidup

Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian

Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Dalam semak ada duri
Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi
Macam anjing dengan bayang

Baik-baik mengirai padi
Takut mercik ke muka orang
Biar pandai menjaga diri
Takut nanti diejek orang

Ke hulu membuat pagar
Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar
Supaya jangan sesal kemudian

Mari kita tanam halia
Ambil sedikit buat juadah
Usia muda jangan disia
Nanti tua sesal tak sudah

Padi muda jangan dilurut
Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut
Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Orang Daik memacu kuda
Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan
Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
Ibarat pokok tidak berbuah

Kalau kita menebang jati
Biar serpih tumbangnya jangan
Kalau kita mencari ganti
Biar lebih kurang jangan

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Pantai Mersing kuala Johor
Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur
Negara kita aman dan makmur

Orang tua patut disegani
Boleh mendapat ajarnasihat
Ular yang bisa tidak begini
Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
Ambil buluh lalu diikat
Ilmu dicari tak akan rugi
Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah
Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah
Rezeki segenggam jadi sekarung

Patah gading serpih tanduk
Mari diletak di atas papan
Jika tahu ganja itu mabuk
Buat apakah ia dimakan

Anak rusa masuk ke taman
Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
Kalau tua jadikan guru

Berakit ke hulu dengan bergalah
Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah
Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki
Mati terkena jerat sembat
Orang yang muda kita sanjungi
Orang yang tua kita hormat

Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan awak makan
Suruh mengaji awak tak mahu

Adik ke kedai membeli halia
Emak memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
Baik hati berbudi bahasa

Mencari Cinta Abadi

Ada hati yang terluka,
Ada tangisan di bibir mata,
Ada derita meruntun jiwa,
Ada jiwa tiada bernyawa…

Hati ini sedih sekali,
Ada derita silih berganti,
Ingin pergi membawa diri,
Tempat mengadu hanya Ilahi….

Moga luka boleh diubati,
Moga jiwa hidup kembali,
Moga hati tidak mati,
Moga derita berlalu pergi….

Siapa sangka siapa menduga,
Bahagia dicari derita tiba,
Mengadu nasib pada yang Esa,
Moga tenang seluruh jiwa..

Pantun Jenaka

Lebuhraya kota bersegi
Tempat temasya dara teruna
Hodohnya ketawa orang tak bergigi
Ibarat kota tiada kubunya

Api terang banyak kelkatu
Masuk ke kamar bersesak-sesak
Alangkah geli rasa hatiku
Melihat nenek bergincu berbedak

Ditiup angin bunga semalu
Kuncup daun bila berlaga
Bercakap Melayu kononnya malu
Belacan setongkol dibedal juga

Orang Rengat menanam betik
Betik disiram air berlinang
Hilang semangat penghulu itik
Melihat ayam lumba berenang

Tanam jerangau di bukit tinggi
Mati dipijak anak badak
Melihat sang bangau sakit gigi
Gelak terbahak penghulu katak

Singapura dilanggar todak
Kapal karam di Tanjung Peringin
Orang tua beristerikan budak
Macam beruk mendapat cermin

Bapa gergasi menebar jala
Pegang tali melintuk-liuk
Masakan pengerusi tak garu kepala
Melihat ahli semua mengantuk

Gemuruh tabuh bukan kepalang
Diasah lembing berkilat-kilat
Gementar tubuh harimau belang
Nampak kambing pandai bersilat

Buah salak di rumah Tok Imam
Sirih sekapur pergi menjala
Anjing menyalak harimau demam
Kucing di dapur pening kepala

Anak cina menggali cacing
Mari diisi dalam tempurung
Penjual sendiri tak kenal dacing
Alamat dagangan habis diborong

Biduk buluh bermuat tulang
Anak Siam pulang berbaris
Duduk mengeluh panglima helang
Melihat ayam bercengkang keris

Buah jering dari Jawa
Naik sigai ke atas atap
Ikan kering lagi ketawa
Dengar tupai baca kitab

Pohon manggis di tepi rawa
Tempat datuk tidur beradu
Sedang menangis nenek tertawa
Melihat datuk bermain gundu

Ceduk air di dalam perigi
Timbanya bertangkaikan suasa
Jikalau kucing tak bergigi
Alamat tikus berjoget berdansa

Anak dara Datuk Tinggi
Buat gulai ikan tilan
Datuk tua tak ada gigi
Bila makan kunyah telan
 
Berderak-derak sangkutan dacing
Bagaikan putus diimpit lumpang
Bergerak-gerak kumis kucing
Melihat tikus bawa senapang

Pokok pinang patanya condong
Dipukul ribut berhari-hari
Kucing berenang tikus berdayung
Ikan di laut berdiam diri

Tanam pinang di atas kubur
Tanam bayam jauh ke tepi
Walaupun musang sedang tidur
Mengira ayam di dalam mimpi

Anak bakau di rumpun salak
Patah taruknya ditimpa genta
Riuh kerbau tergelak-gelak
Melihat beruk berkaca mata

Orang menganyam sambil duduk
Kalau sudah bawa ke balai
Melihat ayam memakai tanduk
Datang musang meminta damai

Hilir lorong mudik lorong
Bertongkat batang temberau
Bukan saya berkata bohong
Katak memikul paha kerbau

Di kedai Yahya berjual surat
Di kedai kami berjual sisir
Sang buaya melompat ke darat
Melihat kambing terjun ke air

Jikalau lengang dalam negeri
Marilah kita pergi ke kota
Hairan tercengang kucing berdiri
Melihat tikus naik kereta

Senangis letak di timbangan
Pemulut kumbang pagi-pagi
Menangis katak di kubangan
Melihat belut terbang tinggi

Anak Hindu beli petola
Beli pangkur dua-dua
Mendengar kucing berbiola
Duduk termenung tikus tua

Punggur berdaun di atas kota
Jarak sejengkal dua jari
Musang rabun, helang pun buta
Baru ayam suka hati

Ketika perang dinegeri Jerman 
Ramai askarnya mati mengamuk
Rangup gunung dikunyah kuman
Lautan kering dihirup nyamuk

Jual betik dengan kandil
Kandil buatan orang Inggeris
Melihat buaya menyandang bedil
Lembu dan kerbau tegak berbaris

Jemur bijan dengan kulitnya
Jemur di atas pohon lembayung
Hari hujan sangat lebatnya
Lamun Si Pandir mengepit payung

Elok rupa pohon belimbing
Tumbuh dekat limau lungga
Elok berbini orang sumbing
Walau marah ketawa juga

Rumah besar berdinding tidak
Beratapkan daun palas
Badan besar beristeri tidak
Itu tandanya orang pemalas

Adik nama Comat
Suka beri salam
Budak ketawa kuat
Suka kecing malam

Dari Ambun hendak ke Perak
Singgah di Jeram Mengkuang
Si Awang Kenit mencuri kerak
Hidung berbelang terpalit arang

Biduk lalu kiambang bertaut
Nakhoda Kasap duduk termenung
Gila latah ikan di laut
Melihat umpan di kaki gunung

Pakai seluar labuh ke bawah
Ikut permatang jalan melenggang
Nampak zahir memang mewah
Tapi hutang keliling pinggang

Orang Sibu menunggang kuda
Kuda ditunggang patah pinggang
Masih mahu mengaku muda
Padahal cucu keliling pinggang

Tahankan jerat gunakan tali
Pacak kuat biar melekap
Kalau bini suka membeli
Hutang berbaris suami ke lokap

Tuan puteri memasang panjut
Dayang tolong menghalau lalat
Kucing tidur bangkit terkejut
Melihat tikus pandai bersilat

Pantun Untuk Pengantin Baru

Bila mata bertentang mata
Kasih berpadu cinta terjalin
Bila sudah seiya sekata
Lalu bersanding di atas pelamin
Sungguh cantik anyaman rotan
Buat hamparan raja sehari
Sama cantik sama sepadan
Bagaikan raja dengan permaisuri.
Di ijab kabul suami dan suami
Jodoh pertemuan sudah tersurat
Berkasih sayang suami isteri
Semoga berbahagia dunia akhirat

selamat+pengantin+baru+by+rem+copy Pantun Untuk Pengantin Baru

Koleksi Kata-Kata Hikmah

  • Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
  • Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.
  • Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.
  • Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.
  • Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.
  • “Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.”
  • Orang berjaya tidak pernah putus asa. Sebaliknya orang yang mudah putus asa ialah orang yang tidak akan berjaya.
  • Insan yang berilmu akan menganggap dirinya kurang ilmu, manakala orang bodoh akan menganggap dirinya orang yang sangat pandai.
  • Padi yang semakin berisi akan semakin menunduk, manusia yang berhemah tinggi ialah orang yang sentiasa merendahkan diri.
  • Orang yang cemerlang bukanlah kerana dia tidak pernah mengalami kegagalan tetapi disebabkan dia dapat berdiri lebih teguh selepas kegagalan.
  • Orang yang cantik tetapi tidak berakhlak bagaikan bunga yang berwarna tetapi berbau busuk.

KOLEKSI MUTIARA KATA (PART 5)

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Harga tiket perlawanan akhir naik RM10

Harga tiket perlawanan akhir naik RM10

Hamidin Mohd. Amin (kanan) dan Ahli Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Tempatan FAM memeriksa keadaan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, yang akan menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di antara juara bertahan, Negeri Sembilan dan Kelantan, Sabtu ini.


KUALA LUMPUR - Sesuai dengan prestijnya sebagai pentas akhir, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menaikkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Negeri Sembilan Sabtu ini, kepada RM30.
Harga tersebut adalah bagi tempat duduk biasa, manakala RM50 ditetapkan bagi tempat duduk grand stand.
Harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu adalah RM20.
Naib Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan menaikkan harga RM10 bagi tiket perlawanan akhir itu telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pintu dan Tiket.
''Sesuai dengan prestij Piala Malaysia yang merupakan piala keagungan negara, maka Jawatankuasa Pintu dan Tiket berpendapat amat wajar harga tiket perlawanan akhir dijual pada harga RM30.
''Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, harga tiket yang ditawarkan serendah RM5 sementara tempat duduk grand stand adalah RM50, '' katanya dalam sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di Stadium Bukit Jalil, semalam.
Hadir sama pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dan penolong pengurus Negeri Sembilan, Faizal Zainal.
Bagi meningkatkan langkah keselamatan, Hamidin menegaskan, pada perlawanan Sabtu ini, setiap penonton, termasuk wanita akan menjalani pemeriksaan badan, sebagai langkah membendung percubaan membawa masuk mercun dan objek terlarang ke dalam stadium.
''Pasukan keselamatan akan melakukan kawalan rapi di luar dan dalam stadium. Kali ini juga anggota keselamatan akan memeriksa badan penonton wanita, kerana ada maklumat mercun pernah dibawa masuk ke stadium melalui penonton wanita .
''Atas faktor keselamatan, makanan dan minuman juga akan tidak lagi dibenarkan dijual di dalam stadium, '' katanya.
Menyentuh pembahagian jualan tiket, sebanyak 30,000 tiket akan diberikan kepada Kelantan dan Negeri Sembilan, yang boleh didapati dalam tempoh terdekat.
''Tiket-tiket akan dijual tidak lama lagi sehingga Jumaat, yang akan diagihkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.
''Jika terdapat lebihan sehingga hari Jumaat ini, Jawatankuasa Pengelola akan menjual tiket itu di Stadium Nasional Bukit Jalil seawal 9 pagi Sabtu ini. Saya anggarkan sebanyak 70,000 ke 80,000 tiket akan dijual.
''Para penonton boleh masuk ke stadium mulai pukul 4 petang. Penyokong Kelantan akan duduk di bahagian tuan rumah sementara Negeri Sembilan di bahagian penyokong pelawat, '' katanya.
Hamidin turut berasa puas hati dengan kualiti padang perlawanan akhir itu yang disifatkannya 92 peratus boleh digunakan.

FAM akur, Sathia 'dibebas'

Jawatankuasa Rayuan tangguh hukuman

PENYOKONG Kelantan boleh melupakan cadangan awal mahu demonstrasi depan Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana hajat besar mereka sudah tertunai, semalam.Ketua jurulatih, B Sathianathan kini bebas dan boleh turun ke gelanggang mengendalikan skuad The Red Warriors menentang Negeri Sembilan dalam final Piala Malaysia, Sabtu ini selepas Jawatankuasa Rayuan badan induk itu membuat keputusan mengejut menangguhkan hukuman ke atasnya. Penangguhan itu diputuskan sehingga jawatankuasa berkenaan bersidang pada tarikh yang bakal ditentukan berdasarkan surat rayuan dikemukakan Sathia, petang semalam.

“Pihak FAM mengesahkan menerima surat Sathianathan Bashkaran menerusi faks pada 2.33 petang, 25 Oktober 2010 yang dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Rayuan (K Kanagarajah) pada 5.45 petang hari sama.

“Berasaskan kepada Perkara 7.1.1 dan 7.5.1 Kod Tatatertib FAM, adalah dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM (K Kanagarajah) dengan ini memutuskan hukuman penggantungan selama enam bulan dijatuhkan ke atas Sathianathan Bashkaran ditangguhkan penguatkuasaan serta-merta sehingga jawatankuasa berkenaan bersidang kelak,” menurut sekretariat FAM dalam kenyataan di laman web FAM.

Kenyataan itu menyusul selepas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan pada sidang akhbar, semalam bahawa keputusan menggantung Sathia bukan dilakukan untuk mensabotaj persiapan Kelantan pada separuh akhir kedua di Kota Bharu, Sabtu lalu.
“Selepas keputusan ditentukan, FAM membuka ruang untuk kemukakan rayuan sehingga 14 hari tarikh hukuman. Sekiranya rayuan diterima dalam 14 hari dengan memenuhi syarat, termasuk dikemukakan dengan RM500, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan berhak untuk menangguhkan hukuman sehingga jawatankuasa bersidang,” kata Azzuddin.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim mengalu-alukan keputusan tersebut dengan ia membolehkan pasukannya memfokuskan terhadap misi untuk memburu gelaran sulung mereka dalam kancah bola sepak domestik.

Beregu akui berdepan tekanan status juara

PASANGAN nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mengakui berdepan tekanan berganda dalam persiapan menghadapi Sukan Asia XVI Guangzhou dari 12 sehingga 27 November ini berbanding ketika menamatkan kemarau 36 tahun memenangi pingat emas di Doha, empat tahun lalu.

“Jika dulu kami hadir di Doha tanpa sebarang harapan tetapi kami datang ke Guangzhou kali ini selaku juara bertahan. Status juara bertahan itu amat berat, apa lagi, perbezaan antara pasangan yang beraksi kali ini tidak banyak beza.
“Namun, kami akan cuba menangani tekanan itu sebaik mungkin memastikan mampu mempertahankan emas yang diraih di Doha empat tahun lalu,” kata Kien Keat selepas latihan di Stadium Juara, semalam.

Diletakkan pasangan bukan pilihan, Kien Keat-Boon Heong mencipta kejutan di Doha apabila memenangi emas sekali gus menamatkan kemarau 36 tahun tahun menewaskan gandingan Indonesia Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto 21-13, 21-14.

Sebelum itu, mereka menumbangkan satu persatu beregu handalan dunia termasuk pasangan ranking pertama dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng dan pilihan keempat dari Indonesia Markis Kido-Hendra Setiawan dalam laluan ke final.

Kien Keat berkata walaupun mendapat undian mudah di pusingan awal termasuk tidak diundi sekumpulan dengan lawan badi Cai Yun-Haifeng tetapi dia dan Boon Heong tetap waspada bagi mengelak ia memakan diri.

“Apa yang penting kami perlu fokus dan tidak mengambil mudah setiap lawan yang ditemui,” katanya.
Dalam undian dikeluarkan 16 Oktober lalu, pasangan itu yang diletakkan selaku pilihan pertama diundi bersama Ko Sung-hyun-Yoo Yeon-seong (Korea Selatan) Fang Chieh-min-Lee Sheng-mu (Taiwan) dan Mohd Ahsan-Alven Yulianto (Indonesia).

Ronaldo garang baham Racing

CRISTIANO Ronaldo (kiri) mengganas apabila menjaringkan 4 gol membantu Real membelasah Racing Santander, kelmarin.

Sentuhannya bantu gergasi Sepanyol Real Madrid selesa di singgahsana liga

MADRID:
Pasangan Portugal, Jose Mourinho dan Cristiano Ronaldo memberikan sentuhan magis untuk Real Madrid apabila gergasi Sepanyol itu membenam lawan tempatan dan luar negara untuk menduduki singgahsana Liga Sepanyol dan kumpulan Liga Juara-Juara. Real membelasah Racing Santander 6-1 di Santiago Bernabeu Sabtu lalu untuk menduduki tangga teratas, di depan Barcelona dengan Ronaldo menjaringkan empat gol untuk menjadikan lapan jaringan dalam tiga penampilan liga. “Saya cukup gembira kerana saya tidak pernah menjaringkan empat gol sebelum ini,” kata Ronaldo. “Begitupun, perkara paling penting ialah pasukan ini, dan pasti mustahil menjaringkan gol tanpa bantuan rakan sepasukan. Saya perlu berterima kasih kepada mereka.

“Ada beberapa rakan yang bermain dengan lebih baik berbanding saya tetapi seperti yang jurulatih katakan, tiada sebab untuk berasa terlalu gembira. Perjalanan liga masih panjang walaupun berada di puncak adalah penting.”

Penyerang 25 tahun itu menempuh masalah pada awal musim apabila kemarau jaringan, malah diejek oleh peminat setia di Bernabeu selepas menempelak penyokong kelab itu yang tidak memberikan sokongan kepada pasukan.

Sejak itu, Ronaldo mula menemui sentuhan dan Real menjaringkan 16 gol - dengan Ronaldo mengumpul lapan daripadanya dalam tiga penampilan terakhir untuk membantu melonjakkan kelab itu di tangga teratas liga, selain kedudukan teratas Liga Juara-Juara selepas menewaskan AC Milan, Selasa lalu.
Skuad bimbingan Mourinho itu tidak tewas dalam semua saingan dan mempamerkan benteng pertahanan dan serangan yang mantap hingga menerima pujian daripada anak buahnya sendiri.

“Mourinho mengagumkan. Baguslah dia datang ke kelab ini,” kata Ronaldo. “Memang seronok bekerjasama dengan seseorang yang berpengalaman luas dan mengumpul pelbagai kejuaraan dalam kariernya.” – AFP

Semangat sudah pulih: Ferguson

STOKE-ON-TRENT: Sir Alex Ferguson memuji semangat yang dipamerkan barisan Manchester United ketika menang 2-1 dalam perlawanan penting menentang Stoke City, kelmarin.

Barisan kendalian Ferguson merapatkan jurang kepada lima mata dengan pendahulu liga Chelsea menerusi ketajaman penyudah Javier Hernandez di Stadium Britannia. Penyerang antarabangsa Mexico itu – menggantikan Wayne Rooney yang cedera – menjaringkan gol pada minit ke-27 apabila menanduk masuk ke belakang, manakala Tuncay Sanli menyamakan kedudukan sembilan minit sebelum tamat permainan. Tetapi Hernandez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 – seperti yang dituntut Ferguson – dan menunjukkan perjalanan sebenar United.

Dengan Piala Liga menentang Wolves Selasa ini dan Liga Perdana melawan Tottenham hujung minggu ini, Ferguson percaya kemenangan itu membuktikan kebangkitan semula dalam pasukan itu.

Dia berkata: “Apabila anda menjaringkan gol pada permulaan permainan, anda akan berkata pada diri sendiri ia akan menjadi salah satu musim terbaik.

“Apabila melepaskan gol ketika permainan berbaki 10 minit, ia membuatkan anda bimbang. Anda akan berfikir kepada diri sendiri ‘tidak lagi’.
“Tapi mudah-mudahan kami boleh meneruskan kebangkitan ini. Kami mempunyai perlawanan penting mulai sekarang hingga Krismas serta kami perlu mencapai sasaran dalam liga mulai sekarang.

“Kami berterima kasih kepada Javier kerana menyudahkan hantaran lintang dalam kotak penalti. Dia memiliki naluri yang baik,” kata Ferguson. – AFP

Rooney buat pusingan 'U' resahkan Terry

 Wayne Rooney

LONDON: Chelsea mula gelisah selepas Wayne Rooney membuat pusingan-U untuk terus kekal bersama Manchester United ketika beranggapan pemergian penyerang England ke kelab lain – jika berhasil – boleh membantu memudahkan cabaran mereka, musim ini.

Ketua pasukan The Blues, John Terry turut bimbang kontrak baru penyerang prolifik itu yang lumayan akan memantapkan jentera United untuk terus menyerlah, musim ini dan sebaliknya menyentap peluang mereka.“Saya percaya keputusan Rooney untuk kekal bersama United akan membantu cabaran mereka dan ketika sama menyukarkan kami pula.“Kami juga jangkaan United akan berbelanja Januari ini dan juga pada akhir musim nanti,” kata Terry.

“Chelsea bernasib baik beberapa musim lalu kerana kelab lain, termasuk United tidak berbelanja besar kerana krisis kewangan dunia. Keputusan Rooney untuk kekal adalah besar untuk mereka.”

Chelsea mendahului carta liga dengan 22 mata tapi sudah mula dikejar United yang berada lima mata di belakang. – Agensi