CRISTIANO Ronaldo (kiri) mengganas apabila menjaringkan 4 gol membantu Real membelasah Racing Santander, kelmarin.
Sentuhannya bantu gergasi Sepanyol Real Madrid selesa di singgahsana liga
MADRID: Pasangan Portugal, Jose Mourinho dan Cristiano Ronaldo memberikan sentuhan magis untuk Real Madrid apabila gergasi Sepanyol itu membenam lawan tempatan dan luar negara untuk menduduki singgahsana Liga Sepanyol dan kumpulan Liga Juara-Juara. Real membelasah Racing Santander 6-1 di Santiago Bernabeu Sabtu lalu untuk menduduki tangga teratas, di depan Barcelona dengan Ronaldo menjaringkan empat gol untuk menjadikan lapan jaringan dalam tiga penampilan liga. “Saya cukup gembira kerana saya tidak pernah menjaringkan empat gol sebelum ini,” kata Ronaldo. “Begitupun, perkara paling penting ialah pasukan ini, dan pasti mustahil menjaringkan gol tanpa bantuan rakan sepasukan. Saya perlu berterima kasih kepada mereka.
“Ada beberapa rakan yang bermain dengan lebih baik berbanding saya tetapi seperti yang jurulatih katakan, tiada sebab untuk berasa terlalu gembira. Perjalanan liga masih panjang walaupun berada di puncak adalah penting.”
Penyerang 25 tahun itu menempuh masalah pada awal musim apabila kemarau jaringan, malah diejek oleh peminat setia di Bernabeu selepas menempelak penyokong kelab itu yang tidak memberikan sokongan kepada pasukan.
Sejak itu, Ronaldo mula menemui sentuhan dan Real menjaringkan 16 gol - dengan Ronaldo mengumpul lapan daripadanya dalam tiga penampilan terakhir untuk membantu melonjakkan kelab itu di tangga teratas liga, selain kedudukan teratas Liga Juara-Juara selepas menewaskan AC Milan, Selasa lalu.
Skuad bimbingan Mourinho itu tidak tewas dalam semua saingan dan mempamerkan benteng pertahanan dan serangan yang mantap hingga menerima pujian daripada anak buahnya sendiri.
“Mourinho mengagumkan. Baguslah dia datang ke kelab ini,” kata Ronaldo. “Memang seronok bekerjasama dengan seseorang yang berpengalaman luas dan mengumpul pelbagai kejuaraan dalam kariernya.” – AFP
No comments:
Post a Comment