nuffnang ads

Wednesday, November 10, 2010

Ferguson lancar perang psikologi ke atas City

LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson seakan-akan mahu melancarkan perang psikologi ke atas Manchester City menjelang pertemuan kedua-dua kelab tersebut dalam saingan Liga Perdana England di Stadium of Manchester awal pagi esok.
Ini kerana, pengurus kelahiran Scotland itu percaya yang City tidak akan berhenti berbelanja besar bagi membawa masuk beberapa lagi pemain bintang ke Eastland selagi mereka tidak menjulang sebarang trofi kejuaraan.
Setakat ini, pemilik City, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £320 juta (RM1,593.79 bilion) bagi mendapatkan khidmat pemain-pemain bintang sejak mengambil kelab tersebut pada 2008.
Begitupun, perbelanjaan besar yang dikeluarkan itu dilihat masih belum mendatangkan hasil buat City yang terus kemarau tanpa menjulang sebarang trofi baik dalam saingan liga domestik mahupun di pentas Eropah.
"Kami (United) tahu dari mana datangnya wang yang dikeluarkan untuk membeli pemain-pemain baru itu.
"City telah membawa masuk lima atau enam muka baru pada musim perpindahan yang lalu dan perkara tersebut bakal berlanjutan sehingga- lah mereka menjulang trofi kejuaraan yang diidamkan selama ini," jelas Fer- guson.
Selepas mengharungi 11 perlawanan, United kini mengumpul 23 mata, dua mata di belakang pendahulu, Chelsea manakala City pula sekadar meraih 20 mata ditempat keempat.
Namun, sekiranya City mampu menumbangkan The Red Devils di laman sendiri awal pagi esok, skuad bimbi- ngan Roberto Mancini itu bakal melonjak ke tangga kedua liga sambil mengharapkan Arsenal yang menduduki tangga ketiga tewas di tangan Wolverhampton Wanderers dalam satu lagi perlawanan.
Ferguson yang telah membimbing United selama 24 tahun berkata, City seharusnya menjadikan kejuaraan liga musim ini sebagai sasaran mereka dan langkah ke arah tersebut bakal bermula daripada pertemuan kedua- dua kelab berjiran itu.
"Saya tidak percaya akan ada pihak yang mempersoalkan kemampuan City untuk muncul sebagai juara liga.
"Mereka kini berada dalam kelompok empat pasukan teratas liga dan pertemuan dengan United sudah pastinya menjadi penentu kepada mereka mengenai hala tuju mereka dalam saingan liga musim ini," tambah- nya. - Agensi

Safiq galas tugas kapten; Malaysia Lwn Jepun


SAFIQ (kiri) mengambil alih tugas kapten daripada Norhafiz Zamani yang mengalami kecederaan pada aksi menentang Kyrgyzstan kelmarin.


SAFIQ RAHIM sudah bersedia untuk menggalas tugas selaku ketua pasukan apabila skuad bola sepak negara turun menentang Jepun pada perlawanan kedua Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia 2010 di Stadium Huadu petang ini.
Pemain tengah Selangor itu mengambil alih tugas tersebut daripada Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan lutut pada minit ke-70 ketika skuad negara menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi sulung kelmarin.
Menurut Safiq, 23, dia akan memberikan persembahan yang lebih baik apabila berdepan Jepun petang ini memandangkan dia kini menggalas satu lagi tugas tambahan untuk mengetuai rakan-rakannya yang lain.
“Ketiadaan Zamani memang dirasai kerana dia merupakan tonggak paling senior dalam pasukan. Tapi apa boleh buat, kita terpaksa juga beraksi tanpa khidmatnya.
“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik dengan segala apa yang saya miliki untuk mendapatkan satu keputusan yang baik buat skuad negara pada aksi menentang Jepun kelak.
“Sebagai kapten, saya akan cuba memberi bantuan kepada rakan-rakan lain supaya kami tidak mudah hilang fokus ketika di padang," kata Safiq kepada Kosmo! semalam.
Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan A berkongsi tiga mata dengan pendahulu kumpulan, Jepun yang membelasah tuan rumah, China 3-0 kelmarin. Kyrgyzstan berada di tangga ketiga dan China di tempat tercorot.
Diminta mengulas aksinya pada perlawanan menentang Kyrgyzstan kelmarin, Safiq berkata, dia berpuas hati dengan persembahannya dan juga rakan-rakan sepasukan lain.
“Cuma pada aksi menentang Jepun ini, kami perlu meningkatkan lagi persembahan serta memperbaiki rentak permainan untuk mencatat keputusan yang baik bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan kedua.
“Kami berjaya menguasai sepenuhnya bahagian tengah ketika bertemu Kyrgyzstan. Cuma pada awal babak kedua kami agak hilang punca, mungkin kerana terlampau ghairah mencari gol kemenangan,” jelas Safiq.