nuffnang ads

Monday, November 1, 2010

Pemandu bas minta maaf kepada keluarga mangsa

pix_gal0
Muthumani kendali kenderaan tanpa lesen sejak lima tahun lalu

KUALA LUMPUR: "Saya minta maaf kepada semua keluarga mangsa... saya kesal dan tak mahu memandu lagi," kata S Muthumani, pemandu bas pesiaran yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 38 Genting Sempah, Jumaat lalu. Muthumani, 36, ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam, mengaku mengambil upah memandu bas tanpa lesen sejak lima tahun lalu dan sudah banyak kali membawa penumpang ke merata tempat termasuk beberapa kali ke Genting Highlands.
Katanya, dia terpaksa memandu bas walaupun mengetahui tindakannya itu salah di sisi undang-undang kerana perlu mencari wang bagi menyara tiga anak berusia 10, 11 dan 13 tahun, manakala isterinya pula seorang suri rumah.

Muthumani yang patah kaki kanan dan menerima 15 jahitan di kepala akibat kemalangan itu mendakwa, dia pernah memiliki lesen memandu bas pada 2001 sebelum dibatalkan selepas pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ia lesen terbang yang dikeluarkan sebuah sekolah memandu.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu (lesen terbang), selepas itu saya mahu mengambil lesen memandu sekali lagi, tetapi nama saya disenarai hitam dan saya juga tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bayaran,” katanya sambil menitiskan air mata.

Dia ditemui ketika kunjungan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang menziarah lima mangsa kemalangan yang juga ahli Belia 4B Kampung Baru Siong, Baling, yang masih dirawat di HKL bersama pemandu bas berkenaan.
Dalam kemalangan jam 7 malam itu, bas dinaiki 44 ahli rombongan berkenaan dilaporkan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik menyebabkan tujuh maut dan 21 lagi cedera.

Kelmarin, polis mengesahkan pemandu bas persiaran berkenaan tidak mempunyai lesen memandu dan kini ditahan untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Muthumani mendakwa, kemalangan itu berpunca akibat brek rosak secara tiba-tiba dan dia juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana gear juga tidak berfungsi.

“Ketika menuruni Genting Highlands, brek secara tiba-tiba tidak berfungsi dan apabila tiba di selekoh ketiga yang tajam, saya terpaksa melanggar pembahagi jalan untuk mengelak bas jatuh ke gaung,” katanya.

Muthumani mendakwa, ini kali kedua dia mengambil upah memandu dari syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan itu kerana sebelum ini dia pernah membawa rombongan dari Baling ke Melaka dengan bayaran RM120 pada September lalu.

Dia juga mendakwa, syarikat bas terbabit meminta bantuannya membawa rombongan berkenaan ke Genting Highlands kerana kekurangan pemandu.

Katanya, dia juga belum tahu apa pekerjaan yang akan dilakukannya selepas ini untuk menyara isteri dan tiga anaknya