nuffnang ads

Wednesday, October 27, 2010

Pertarungan satu lawan satu BN dengan Pas di Galas

TENGKU Razaleigh Hamzah dan Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff (depan, tiga dari kiri) pada penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, semalam.


GUA MUSANG 26 Okt. - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad.
Pengesahan 'pertarungan' antara kedua-dua calon itu dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Galas, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid pada pukul 11.30 pagi sebaik sahaja selesai proses penamaan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.
Menurut beliau, Abdul Aziz menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi manakala Dr. Zulkefli berbuat demikian pada pukul 9.33 pagi.
''Terdapat satu bantahan dikemukakan bagi pencalonan-pencalonan berkenaan, namun ia ditolak," katanya ketika membuat pengumuman tersebut.
Sebelum itu, Abdul Aziz yang merupakan bekas Pengurus Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tiba di pusat penamaan pada pukul 9.05 pagi dengan diiringi oleh hampir 3,500 penyokong BN.
Turut bersama beliau ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Naib Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta beberapa pemimpin kanan UMNO yang lain.
Dr. Zulkefli pula tiba pada pukul 9.25 pagi dengan diiringi lebih 5,000 penyokong Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Berbanding Abdul Aziz yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya, ini merupakan kali ketiga bagi Dr. Zulkefli.
Sebelum ini pada tahun 2004 dan 2008, beliau bertanding sebagai calon Pas bagi kerusi Parlimen Gua Musang, bagaimanapun tewas kedua-dua di tangan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Sementara itu, proses penamaan calon yang diadakan berjalan lancar dengan kawalan ketat oleh pihak polis. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku melibatkan penyokong kedua-dua calon.

No comments:

Post a Comment