nuffnang ads

Thursday, November 11, 2010

Perodua kekal terajui pasaran


SEMUA model Perodua mendapat sambutan hangat termasuk Perodua Alza yang dijual sejak November tahun lalu.


KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengekalkan status selaku pengeluar kereta terlaris di Malaysia untuk lima tahun berturut-turut dengan angka jualan meningkat 15 peratus kepada 157,200 unit dari Januari hingga Oktober lalu.
Prestasi jualan itu memberikan Perodua penguasaan 31.1 peratus daripada pasaran kenderaan di negara ini yang dianggarkan kesemuanya berjumlah 570,000 buah setahun.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rasyid Salleh (gambar kecil) berkata, syarikat itu kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan tahun ini sebanyak 185,000 unit.
“Kejayaan Perodua banyak disumbangkan oleh produk yang menepati cita rasa pengguna seperti faktor reka bentuk, harga, penjimatan bahan api serta nilai jualan semula yang tinggi.
“Buat masa sekarang, Myvi terus menjadi model paling laris dengan jualan antara 6,500 hingga 7,000 unit sebulan, diikuti Viva dan Alza,” kata Aminar ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hari ini, Perodua akan melancarkan varian terbaru Viva yang ditambah baik, Viva Edisi Eksekutif.
Edisi terbaru Viva, model yang pertama kali dikeluarkan pada 2007, dijangka melonjakkan lagi penguasaan Perodua.
Tempahan untuk model itu sudah dibuka dengan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungan talian khidmat pelanggan Perodua di 1800-88-6600.